KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mendapatkan bantuan negara sahabat jika berlaku perkara tidak diingini kepada rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF).
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, tiada hubungan dengan Israel menyebabkan Malaysia perlu bergantung kepada negara berhampiran yang mempunyai hubungan baik untuk membantu jika keadaan memerlukan.
“Oleh kerana kita tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, kita akan meminta pertolongan daripada negara berhampiran dan sahabat kita selama ini untuk membantu sedaya mungkin.
“Ia bukan saja untuk 34 rakyat Malaysia yang berada di sana, tetapi juga lebih 500 lagi peserta rombongan apabila sesuatu perlu dilakukan bagi menyelamatkan mereka,” katanya seperti dilapor Berita Harian.
Beliau berkata demikian selepas melawat Sumud Nusantara Command Center (SNCC), hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Datuk Dr Ahmad Sani Araby.
Ahmad Zahid berkata, kerajaan turut meneliti langkah terbaik bagi memastikan semua peserta terbabit dapat dibawa pulang dengan selamat selepas misi itu selesai.
“Saya akan menghubungi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, yang kini berada di New York menghadiri Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) untuk membincangkan tindakan sewajarnya.
“Saya juga akan berbincang dengan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin mengenai peranan Kementerian Pertahanan, termasuk bentuk bantuan yang boleh dihulurkan.
“Tadi saya turut berbincang dengan Ahmad Sani mengenai persediaan membawa pulang 34 rakyat Malaysia selepas misi ini selesai, dan kita akan perincikan bentuk bantuan akan diberikan nanti, insya-Allah,” katanya.
