PRN Sabah: BN sahkan tak bekerjasama dengan GRS

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) dan UMNO Sabah mengesahkan untuk tidak bekerjasama dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebaliknya gabungan berkenaan memutuskan hanya akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya berkenaan.

“Setelah meneliti semua fakta dan butiran daripada perbincangan tiga pihak sebelum ini, saya telah menyampaikan keputusan kepimpinan UMNO bahawa kami mengekalkan kerjasama BN-PH.

“Namun, BN Sabah dan UMNO Sabah memutuskan secara muktamad bahawa tidak akan ada kerjasama dengan GRS,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah, malam tadi.

Ahmad Zahid menghadiri mesyuarat Biro Politik UMNO Sabah itu untuk memaklumkan mengenai pertemuannya dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin GRS, baru-baru ini.

Beliau berkata, pertemuan kepemimpinan dalam Kerajaan Perpaduan yang terbabit dalam PRN17 Sabah diadakan di pejabat Perdana Menteri di Putrajaya.

Dalam perbincangan itu, beliau berkata, Perdana Menteri menyatakan supaya seboleh mungkin dielakkan pertandingan tiga penjuru atau pertindihan kerusi yang akan dimuktamadkan.

Berikutan itu, Ahmad Zahid berkata, mereka bersetuju untuk membentuk jawatankuasa teknikal yang mewakili GRS, BN serta PH dengan beberapa siri rundingan dilakukan sama ada di Kota Kinabalu atau Kuala Lumpur.

“Maka, merujuk kepada perbincangan yang telah diadakan tadi (semalam), saya bersama rakan kepimpinan UMNO telah menyampaikan keputusan kepada Ahli Jawatankuasa Biro Politik UMNO Sabah,” katanya.

Sementara itu, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, keputusan berkenaan sememangnya dialu-alukan oleh kepemimpinan BN dan UMNO negeri.

“Insya-Allah, kami akan menggerakkan seluruh jentera untuk memastikan calon BN akan memenangi kerusi ditandingi pada PRN Sabah nanti.

“Kami cukup yakin dengan kerja keras yang telah diusahakan selama bertahun-tahun ini dan dengan kebolehan jentera kami bawah sistem dan struktur parti yang kukuh.

“Kami percaya UMNO-BN akan dapat meletakkan diri sebagai parti dominan selepas pilihan raya nanti,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, banyak faktor yang menyebabkan BN dan UMNO Sabah tidak dapat bekerjasama dengan GRS, termasuk isu pertindihan kerusi.

Selain itu, katanya, dakwaan kegagalan GRS melaksanakan tanggungjawab sebagai kerajaan juga dijadikan pertimbangan terbabit.

Justeru, beliau berkata, UMNO Sabah amat bersetuju dengan keputusan dimuktamadkan itu dan bersedia menggalas amanah serta tanggungjawab pada PRN17.

Mengenai agihan kerusi dengan PH pula, Bung Moktar berkata, perkara itu akan dimuktamadkan melalui perbincangan dengan kepemimpinan PH, dengan BN dijangka menguasai lebih separuh daripada 73 kerusi. – BH

More From Author

‘Adik trauma, selalu mengigau sebut anjing..anjing’

78,883 calon berjaya sambung pengajian di universiti awam – KPT