JOHOR BAHRU: Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarahkan segera mengambil tindakan susulan penularan video dipercayai melibatkan ajaran sesat di Parit Raja, Batu Pahat baru-baru ini.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, isu ini tidak boleh dipandang ringan dan siasatan terperinci perlu dilakukan kerana insiden itu telah menimbulkan keresahan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, kerajaan negeri akan terus komited dalam mengenal pasti serta membanteras sebarang bentuk ajaran yang menyeleweng tanpa sebarang kompromi.

“Isu ini tidak boleh dipandang ringan dan saya telah mengarahkan JAINJ dan PDRM untuk mengambil tindakan.
“Segala bentuk khurafat, tahyul, pemujaan salah atau ritual yang bercanggah dengan syariat Islam serta kegiatan-kegiatan yang menyebabkan agama Islam dipandang rendah adalah dilarang sama sekali.
“Perbuatan tersebut boleh dikenakan tindakan di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Terdahulu, tular sebuah video berdurasi satu minit di media sosial yang memaparkan ritual pemujaan yang dilaporkan berlaku di Batu Pahat.
Menurut Onn Hafiz, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah dan mengingatkan agar semua umat Islam di Johor perlu berpegang dengan akidah Islam yang murni dan sebenar.
“Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail turut bertitah menegaskan agar semua institusi agama, kepimpinan masyarakat dan pihak berkuasa memperkukuh penguatkuasaan serta pendidikan.
“Ini bagi memastikan umat Islam terhindar daripada ajaran sesat, khurafat dan tahyul demi memelihara akidah dan kesejahteraan,” katanya. – Majestic