KUALA LUMPUR: Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub sah meninggalkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif, hari ini menerima peletakan jawatannya sebagai presiden badan induk itu.
Bagaimanapun, punca utama Mohd Joehari membuat keputusan mengejut itu masih misteri apatah lagi beliau hanya berada di kerusi panas itu lebih kurang enam bulan selepas menang tanpa bertanding pada kongres pemilihan, 15 Februari lalu.
FAM dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas mesyuarat khas Jawatankuasa Eksekutif itu juga tidak menjelaskan secara terperinci mengenai alasan Mohd Joehari meletakkan jawatan.
Malah, mesyuarat berkenaan juga berlangsung secara tertutup yang mana pemberita tidak dibenarkan masuk ke Wisma FAM dan media hanya menunggu di luar bangunan itu.
Ia sekali gus menyaksikan usaha pihak media untuk mendapatkan penjelasan lebih terperinci daripada pengurusan tertinggi FAM mengenai peletakan jawatan Mohd Joehari tidak berjaya.
BH Sukan juga berusaha menghubungi Mohd Joehari untuk mendapatkan penjelasan mengenai peletakan jawatannya itu, namun gagal mendapat jawapan.
Terdahulu, FAM dalam kenyataan menjelaskan Jawatankuasa Eksekutif dipanggil untuk mesyuarat khas kedua penggal 2025-2029, hari ini yang dipengerusikan oleh Timbalan Presiden, Datuk Mohd Yusoff Mahadi bagi membincangkan keputusan Mohd Joehari yang menghantar surat peletakan jawatan, baru-baru ini.
Badan induk menjelaskan, Jawatankuasa Eksekutif FAM dalam mesyuarat berkenaan meneliti hasrat Mohd Joehari itu dan akhirnya akur untuk menerima peletakan jawatan bagi menghormati keputusan yang dibuat oleh beliau.
“Menurut Artikel 42 Perenggan 7 dalam Statut FAM, jika jawatan presiden kosong, timbalan presiden yang paling lama berkhidmat akan menggantikan sehingga kongres seterusnya iaitu tahun hadapan. Kongres itu hendaklah memilih presiden baharu untuk baki tempoh penggal jawatan.
“Justeru, Jawatankuasa Eksekutif FAM bersetuju untuk menamakan Datuk Mohd Yusoff sebagai Pemangku Presiden FAM berkuat kuasa serta-merta, hari ini berdasarkan apa yang termaktub dalam Statut FAM itu,” jelas FAM. – BH
