JOHOR BAHRU: Persatuan Kebajikan Pemilik-Pemilik Tanah dan Penduduk Kampung Melayu Majidee (Perkam) tidak teragak-agak untuk membawa isu tuntutan hak milik kekal Tanah Rizab Melayu (TRM) ke mahkamah sekiranya semua ruang penyelesaian lain gagal.
Pengerusinya, Abdul Rahim Md. Shariff berkata, perkara itu adalah salah satu daripada tiga usul yang diluluskan secara sebulat suara dalam mesyuarat agung tahunan persatuan itu yang dihadiri lebih 150 ahli, Ahad lalu.
Dalam mesyuarat itu, semua ahli Perkam tetap dengan pendirian secara kosisten meminta Menteri Besar dan kerajaan negeri supaya meluluskan permohonan penukaran status tanah di Kampung Melayu Majide daripada pajakan selama 99 tahun menjadi hak milik kekal.
“Semua ahli juga bersetuju sebulat suara untuk mendapatkan kerjasama daripada Ahli Dewan Undangan Negeri untuk membawa isu itu dalam perbahasan dalam sesi sidang DUN pada masa akan datang.
“Turut dipersetujui ialah kebenaran bagi Jawatankuasa Perkam membuat sebarang tindakan selagi dalam ruang batas undang-undang termasuk membuat tuntutan di mahkamah sekiranya semua ruang penyelesaian tertutup,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
April lalu media melaporkan lebih 40,000 penduduk Kampung Melayu Majidee berada dalam dilema apabila permohonan mereka untuk menukar status tanah kediaman daripada pajakan 99 tahun menjadi hak milik kekal belum menerima sebarang maklum balas daripada kerajaan negeri.- Majestic
