JOHOR BAHRU: Seorang pengarah sebuah syarikat dituduh memperdayakan empat warga asing termasuk rakyat Singapura melibatkan kerugian RM155,000, 11 tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Chong Kok Ming, 54, yang juga merupakan penduduk tetap (PR) Singapura mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Melayu di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, hari ini.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, dia didakwa memperdayakan dua individu, masing-masing melibatkan wang berjumlah RM71,250 dengan mengatakan mangsa bakal menerima saham serta dividen tahunan daripada sebuah syarikat berdaftar di Malaysia di sebuah bank di Taman Makmur, Batu Pahat pada 15 Oktober 2014.
Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, Kok Ming didakwa memperdaya dua lagi mangsa, masing-masing melibatkan wang sebanyak RM6,250 dengan mengatakan mangsa bakal menerima saham serta dividen tahunan daripada sebuah syarikat berdaftar di Malaysia di lokasi dan masa sama.
Dia didakwa di bawah Seksyen 417 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Chan Lee Lee menawarkan jaminan sebanyak RM60,000 bagi semua pertuduhan, namu peguam bela tertuduh, K. Veeranesh memohon jaminan rendah kerana tertuduh telah memberikan kerjasama baik sepanjang siasatan kes.
“Tertuduh bekerja sebagai seorang pengarah sebuah syarikat di Singapura dengan pendapatan kira-kira SG$10,000 sebulan. Dia merupakan penduduk tetap, mempunyai dua anak dan bermastautin di Singapura,” katanya
Ahmad Kamal Arifin kemudian menetapkan jaminan sebanyak RM20,000 dan 17 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
