Penduduk bergelut masalah lalat, MPKS sita ladang ayam tak berlesen

KUALA SELANGOR: Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menyerbu sebuah ladang ternakan ayam di Jalan Batu Bata Off Jalan Raja Abdullah, Jeram, di sini, kelmarin kerana beroperasi tanpa lesen.

MPKS dalam kenyataan berkata, serbuan itu adalah sebahagian usaha berterusan MPKS dalam membanteras aktiviti perniagaan tidak berlesen serta menjaga kepentingan awam susulan penduduk menghadapi ancaman serius lalat sehingga menjejaskan kualiti kehidupan dan keselesaan mereka.

Susulan operasi itu, MPKS melalui Jabatan Penguatkuasa mengeluarkan satu kompaun atas kesalahan menjalankan perniagaan tanpa lesen.

“Satu notis memberhentikan perniagaan dikeluarkan dan operasi ladang tersebut diarahkan untuk ditutup serta-merta, selain penyitaan pelbagai peralatan berkaitan operasi ladang.

“Jabatan Kesihatan mengeluarkan satu kompaun mengikut Seksyen 74 Akta Kerajaan Tempatan 1976 atas kesalahan membiarkan premis dalam keadaan kotor dan tidak diselenggara dengan baik.

“Pemeriksaan teknikal Jabatan Kawalan Bangunan mendapati struktur bangunan didirikan tanpa kelulusan pelan bangunan yang sah,” kata MPKS dalam kenyataan malam tadi.

Dalam pada itu, Jabatan Imigresen Malaysia menahan 10 lelaki warga Bangladesh yang bekerja di ladang terbabit tanpa dokumen sah mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – BH

More From Author

Pemandu maut, Proton Satria terbabas langgar pokok

Achraf Hakimi berdepan hukuman penjara 15 tahun