KUALA LUMPUR: Tujuh pemain berdarah kacukan baharu ketika ini dilihat sudah cukup buat skuad Harimau Malaya memberi cabaran selepas bakal berentap dalam saingan Piala Negara-Negara Persatuan Bolasepak Asia Tengah (CAFA) 2025, hujung bulan depan.
Legenda bola sepak negara, Datuk Zainal Abidin Hassan mengakui kehadiran mereka jelas mencetuskan satu permulaan positif apatah lagi kelibat mereka membantu skuad negara mengharungi kempen Kelayakan Piala Asia 2027 dengan cemerlang hasil dua kemenangan ke atas Nepal dan Vietnam.
Justeru, Zainal yang juga EXCO Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengharapkan skuad negara memanfaatkan sepenuhnya peluang berentap dengan beberapa gergasi bola sepak Asia itu untuk menjadi pasukan yang lebih baik pada masa akan datang.
“Bagi saya, ini adalah permulaan (pemain berdarah kacukan baharu). Ini sudah terbaik untuk kita bermula di satu tahap yang lebih jauh. Dengan permulaan ini, kita perlu mengambil sepenuhnya (peluang) dalam misi kita pergi lebih jauh.
“Sudah tentu kita perlukan kejohanan (Piala CAFA 2025) sebegini. Ini satu penghormatan dan penghargaan yang sudah diberikan kepada skuad kebangsaan.
“Saya lihat ini satu pertandingan yang begitu baik untuk persiapan dan peningkatan pasukan kebangsaan,” kata Zainal.
Setakat ini, skuad negara sudah memiliki tujuh pemain berdarah warisan baharu yang mula menyertai pasukan pada tahun ini.
Dua daripada diperkenalkan pada Mac lalu iaitu Hector Hevel dan Gabriel Palmero dengan Hevel mencipta tumpuan apabila meledak gol pada penampilan pertama menentang Nepal.
Lima lagi hadir sebelum aksi menentang Vietnam iaitu Facundo Garces, Jon Irazabal dan pemain di bahagian serangan iaitu Imanol Machuca, Rodrigo Holgado dan Joao Figueiredo.
Holgado dan Figueiredo mencetus impak segera apabila masing-masing meledak satu gol untuk membantu skuad negara membelasah Vietnam 4-0.
Seorang lagi pemain berdarah warisan berpotensi untuk dipanggil menyertai skuad kebangsaan iaitu Nacho Mendez yang disahkan sendiri oleh pasukannya, Johor Darul Ta’zim (JDT) sebagai pemain warisan.
Sebagai rekod, skuad negara diundi dalam Kumpulan B pada Piala CAFA 2025 bersama juara bertahan yang juga pasukan nombor dua Asia, Iran, Tajikistan dan Afghanistan.
Berdasarkan format pertandingan, hanya juara setiap kumpulan akan melayakkan diri ke final sekali gus merebut gelaran ‘Raja Asia Tengah.’
Naib juara setiap kumpulan pula akan berentap bagi penentuan tempat ketiga. – BH
