Negaraku berkumandang di Litar Motegi, Izam juara AP250

KUALA LUMPUR: Pelumba negara, Md Izam Ikmal Izamli memastikan lagu Negaraku bergema megah di Jepun apabila muncul juara Perlumbaan 1 kelas Asia Production 250 (AP250) pada Pusingan Ketiga Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Twin Ring Motegi, hari ini.

Kejayaan Izam itu menjadi satu-satunya kemenangan yang diraih pelumba negara dalam Perlumbaan 1 di semua kelas yang dipertandingkan sekali gus muncul mengekalkan reputasi Malaysia sebagai pencabar utama di kejuaraan berkenaan.

Izam yang mewakili pasukan Victor Racing berjaya mempamerkan tunggangan bertenaga terutama pada pusingan terakhir untuk mengecewakan pelumba tuan rumah, Ryota Ogirawa (Sanwa Racing) yang terpaksa berpuas hati di tempat kedua dan Md Murobbil Vitoni dari Indonesia di tempat ketiga.

“Kami banyak bergelut semalam, termasuk ketika sesi kelayakan hari ini, namun perlumbaan berjalan dengan lancar. Jentera saya bukan yang terpantas di litar tetapi saya sentiasa cuba memberikan yang terbaik,” kata Izam.

“Semua pelumba sangat agresif dalam perlumbaan ini. Saya cuba buat langkah yang besar untuk masuk kelompok tiga terbaik pada pusingan terakhir tetapi kemudian dipintas semula oleh pelumba Jepun (Ryota).

“Ia menakjubkan kerana memang sukar untuk memintas di bahagian itu, tetapi saya dapat ‘slipstream’ yang bagus dan berjaya menang. Memang rezeki berpihak kepada saya.”

Sementara itu, dalam kelas elit ASB1000, dua pelumba negara berjaya menempatkan diri di atas podium meskipun terpaksa akur di tempat kedua dan ketiga menerusi gandingan Azroy Hakeem Anuar dan Md Zaqhwan Zaidi daripada pasukan Idemitsu Honda Racing Malaysia.

Perlumbaan dimenangi pelumba tuan rumah, Keito Abe (SDG HARC-PRG. Honda Philippines).

Dalam kelas SuperSports 600 (SS600) pula, Kasma Daniel Kasmayudin (Hong Leong Yamaha Racing) turut menyumbang podium buat Malaysia apabila menamatkan saingan di tempat kedua di belakang pelumba Thailand, Anupab Sarmoon (Yamaha Thailand Racing Team). – BH

More From Author

PN anggap GRS pengkhianat, tolak kerjasama PRN Sabah

7 ‘harimau warisan’ baharu sudah cukup