KUALA LUMPUR: Penyanyi bersuara lantang, Misha Omar membuktikan bukan sekadar melontar kata manis apabila berjanji mahu mementaskan konsert berskala besar.
Tidak hanya menguji pasaran atau bertanya sama ada dirinya masih relevan, Misha, atau nana sebenar 43, terus meletakkan komitmen tinggi dalam merealisasikan impian, kurang setahun selepas kejayaan luar biasa konsert Misha Omar Back To Basic.
Kira-kira sebulan lalu, tepat tengah malam, pemilik tiga trofi Vokal Terbaik. Anugerah Juara Lagu (AJL) itu membuat pengumuman mengejutkan di Instagram (IG). Misha memberitahu dia akan kembali ke pentas besar, tahun ini.
Pengumuman itu sahaja cukup mengundang keterujaan luar biasa dalam kalangan peminat.
Namun, sebelum menyatakan lokasi dan tarikh penganjuran, Misha terlebih dahulu ‘mengusik’ rasa peminat dengan kemunculan single terbarunya, Break, iaitu karya puitis yang memperlihatkan kematangan vokal dan jiwa seorang penghibur sejati.
Kini, semua teka-teki terjawab. Misha akan mementaskan Konsert DiA Misha Omar di Mega Star Arena, Kuala Lumpur pada 29 November depan.
Penganjuran konsert ini direalisasikan oleh Double M Production dengan Altus Prohouse bertindak selaku Pengurus Konsert.
Misha menganggap Konsert DiA Misha Omar sebagai titik penting dalam sejarah seninya.
Misha menyamakan ia sebagai ‘Riwayat Cinta’ buat semua yang pernah menyokong kerjayanya selama ini.
“Konsert ini bukan semata-mata mengenai saya. Konsert ini adalah mengenai semua yang menjadi saksi jatuh bangun saya dalam industri.
“Saya tidak pernah ada kelab peminat, tapi saya ada karya dan peminat percaya kepada karya itu.
“Diam-diam, saya bertahan lebih 20 tahun. Kini, tibalah masa untuk saya menandai perjalanan ini dengan sesuatu yang bermakna,” katanya.
Sementara itu, penganjur, Double M Production menjelaskan Konsert DiA Misha Omar bukanlah kesinambungan kepada ‘showcase’ berskala kecil yang berlangsung, Disember lalu.
Sebaliknya, acara itu adalah pementasan bersifat retrospektif yang merangkumkan perjalanan seni Misha selama lebih dua dekad sebagai tanda penghargaan kepada peminat dan pemain industri.
“Konsert ini adalah satu bentuk keraian. Ia bukan hanya menyentuh tentang muzik, tetapi juga perjuangan, ketekunan dan cinta dalam berkarya. Ini adalah sisi Misha Omar lebih peribadi, lebih jujur dan penuh makna,” kata wakil produksi.
Misha yang terkenal dengan pendekatan bersahaja namun sarat emosi dalam setiap persembahan, memilih untuk menjadikan DiA Misha Omar sebagai wadah penceritaan 23 tahun perjalanan seninya, daripada era Bunga-Bunga Cinta hingga ke single terkini Break.
Tiket Konsert DiA Misha Omar mula dijual 25 Julai. – BH
