KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menerima bayaran kompaun RM10,000 daripada Mohamad Shafiq Abd Halim, yang dikenakan tindakan atas kesalahan memuat naik kandungan jelik melampau.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, Mohamad Shafiq didapati menyentuh sentimen kaum dan agama menerusi aplikasi TikTok pada 31 Mac lalu.
“Tindakan ini diambil hasil siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] serta setelah memperoleh izin pengkompaunan daripada Jabatan Peguam Negara.
“MCMC memandang serius penyalahgunaan platform digital bagi menyebarkan kandungan berunsur perkauman, keagamaan ekstrem atau yang menyentuh institusi negara,” katanya, hari ini.
Sehubungan itu, MCMC mengingatkan pengguna media sosial agar sentiasa beretika, berhemah dan bertanggungjawab dalam setiap kandungan yang dimuat naik atau dikongsi.
“MCMC kekal komited untuk memastikan ruang siber negara kekal selamat, terkawal dan kondusif, seiring dengan usaha memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat di Malaysia,” katanya lagi. – Majestic
