KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan akan bertemu Setiausaha Negara Amerika Syarikat (AS), Marco Rubio pada Khamis.
Ia susulan lawatan Rubio ke Malaysia bagi menghadiri beberapa mesyuarat serantau peringkat peringkat tinggi dan sesi libat urus dua hala.
“Saya akan berjumpa dengannya (Marco Rubio) esok (Khamis),” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan perasmian Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) ke-58 Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini pada Rabu.
Menurut kenyataan di laman web rasmi Jabatan Negara AS, Rubio akan berada di Kuala Lumpur dari 8 hingga 12 Julai dan dijadual menghadiri Persidangan Pasca Menteri-Menteri Luar ASEAN-AS, Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) serta Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Forum Serantau ASEAN (ARF) yang akan bermula Khamis ini.
Forum Serantau ASEAN (ARF) merupakan sebahagian daripada program Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM), menghimpunkan ASEAN, rakan dialog dan pemain utama lain termasuk AS, China, Rusia, Kesatuan Eropah (EU), Jepun dan Australia.
Sebelum ini, AS dilapor mengenakan tarif lebih tinggi sebanyak 25 peratus ke atas semua produk Malaysia yang dieksport ke negara itu berkuat kuasa 1 Ogos tahun ini, berasingan daripada semua tarif sektor.
Angka itu adalah satu peratus lebih tinggi berbanding dengan tarif yang diumumkan pada April.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani pada Selasa memaklumkan, Kabinet dijangka akan membincangkan mengenai tarif import 25 peratus yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS) terhadap Malaysia pada Rabu.
Beliau bagaimanapun berkata, Malaysia masih boleh berunding dengan AS berhubung tarif itu sehingga 1 Ogos. – SINAR HARIAN
