KUALA LUMPUR: Meskipun melakar dua kemenangan berturut-turut pada aksi pemanas badan, ketua jurulatih skuad bawah 23 (B-23) tahun negara, Nafuzi Zain masih belum berpuas hati sepenuhnya dengan persembahan pasukannya.
Skuad Harimau Malaya B-23 berjaya menundukkan dua wakil Liga Super musim 2025-2026, PDRM (1-0) dan Melaka FC (4-1) dalam perlawanan persahabatan yang dijadikan sebagai persediaan sebelum ke Jakarta, Indonesia bagi menghadapi Kejuaraan ASEAN B-23, minggu depan.
Berdasarkan persembahan yang ditampilkan dalam dua perlawanan itu, Nafuzi menjelaskan bahawa masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki dan perkara itu akan dipertingkatkan sebelum terbang ke Jakarta.
“Saya nampak sentiasa ada peningkatan dari aspek persembahan dan ia satu petanda positif untuk kami sebelum ke Kejuaraan ASEAN. Kami tahu cabaran sebenar nanti lebih sukar.
“Walaupun meraih kemenangan dalam dua perlawanan, tapi saya berasa banyak lagi benda yang perlu diperbaiki untuk kami menjadi pasukan yang memiliki persefahaman dan dapat mempersembahkan satu persembahan terbaik.
“Dari segi tempo dan permainan, kami tahu pemain masih belum dalam keadaan yang sepenuhnya, tapi kami masih ada masa lagi untuk menyediakan satu pasukan yang baik,” katanya selepas aksi menentang Melaka FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, malam tadi.
Nafuzi mempunyai satu lagi aksi pemanas badan berdepan Negeri Sembilan, Jumaat ini yang akan menjadi medan ujian terakhir Harimau Malaya B-23 sebelum menghadapi Kejuaraan ASEAN.
Skuad negara akan membuka kempen Kumpulan A berdepan Filipina pada 15 Julai ini sebelum menentang Brunei (18 Julai) dan tuan rumah, Indonesia (21 Julai) dengan semua aksi itu dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno, Jakarta.
Selain itu, Nafuzi yang juga bekas pengendali Terengganu dan Kedah Darul Aman (KDA) mengakui tidak dapat mengelak daripada berdepan tekanan dalam mempersiapkan pasukan dalam tempoh singkat apatah lagi kali pertama mengendali skuad negara.
“Ini tanggungjawab besar dan pengalaman baharu buat saya. Persiapan pasukan kebangsaan berbeza dengan kelab, terutamanya dari segi masa yang terhad untuk membentuk keserasian dalam pasukan.
“Namun, saya juga rasa teruja dan gembira dapat bekerja dengan pemain muda ini yang mana mereka menunjukkan komitmen yang tinggi,” katanya. – BH
