KUALA LUMPUR: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) memberikan ‘markah’ cemerlang terhadap prestasi keseluruhan pengadil Liga Malaysia (Liga M) bagi musim 2024-2025.
Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM menjelaskan, markah itu diberikan selepas unit pengadil FAM membuat analisa menyeluruh berkaitan prestasi pengadil sepanjang musim lalu.
Beliau berkata, ia termasuk berdasarkan laporan penilai pengadil (RA), aduan daripada pasukan bertanding dan analisa video perlawanan yang digunakan sebagai penanda aras penentuan prestasi pengadil yang mengadili perlawanan Liga Super, Piala Malaysia dan Piala FA.
“Berdasarkan laporan unit pengadil FAM, prestasi pengadil Liga M musim 2024-2025 berada pada tahap cemerlang berbanding musim 2023-2024.
“Pada musim lalu, sebanyak 208 perlawanan menggunakan teknologi video bantuan pengadil (VAR) dan daripada jumlah itu, FAM hanya menerima lima aduan rasmi daripada pasukan bertanding iaitu empat aduan perlawanan Liga Super dan satu aduan aksi Piala Malaysia.
“Setiap insiden pada perlawanan itu sudah disemak dengan tepat oleh pengadil VAR dan tahap pematuhan ‘protocol VAR’ adalah sangat cemerlang.
“Bagi 208 perlawanan, pengadil VAR membuat sebanyak 1,255 semakan (tidak termasuk ‘Silent Check’) dan daripada 1,255 semakan VAR, sebanyak 101 semakan membabitkan ‘On Field Rieview’ (OFR),” katanya.
Sivasundaram memaklumkan, purata masa tambahan daripada VAR adalah lebih rendah iaitu 1.96 minit jika dibandingkan dengan purata masa tambahan daripada pengadil di padang permainan iaitu 4.70 minit.
Katanya, penggunaan VAR pada musim 2024-2025 menampakkan satu trend yang amat baik berdasarkan jumlah aduan dan ketepatan keputusan pengadil.
“Ini bermakna penggunaan teknologi VAR tidak mengganggu kelancaran permainan. Analisa data juga menunjukkan musim lalu sebanyak 647 gol dijaringkan yang mana semua gol itu sudah disemak oleh pengadil VAR sebelum disahkan.
“Sebanyak 64 gol dijaringkan melalui sepakan penalti dan ia disemak oleh Pengadil VAR sebelum disahkan penalti. Jumlah aduan pada musim 2024-2025 berkurangan pada 2.24 peratus berbanding dengan 4.15 peratus pada musim 2023-2024.
“Manakala, ketepatan keputusan pengadil di padang bagi musim 2024-2025 bertambah baik dengan kadar 98.07 peratus berbanding musim 2023-2024 dengan kadar 88.76 peratus,” katanya.
Selain itu, Sivasundaram berkata, FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selaku badan pengelola Liga M sedia memberikan perkhidmatan dan prestasi pengadil yang cemerlang dalam setiap perlawanan yang akan dilangsungkan pada musim 2025-2026.
“Penggunaan teknologi VAR dalam Liga Malaysia bukan sahaja meningkatkan mutu pengadil, bahkan ia memberi peluang kepada pengadil kita untuk layak mengadili perlawanan di peringkat AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) dan FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa).
“Terima kasih kepada Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan atas kerjasama dan bantuan yang diberikan bagi memperkasakan mutu pengadil di negara ini,” katanya. – BH
