JOHOR BAHRU: Datuk Asman Shah Abd. Rahman dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan (SUK) Johor yang baharu menggantikan Tan Sri Dr. Azmi Rohani yang kini bertugas di Istana Negara.
Asman Shah, 59, sebelum ini adalah Timbalan Setiausaha Kerajaan Johor (Pembangunan).
Pelantikan Asman Shah diumumkan Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail menerusi satu kenyataan dalam laman Facebook rasmi baginda, hari ini selepas Majlis Penyerahan Surat Tauliah diadakan di Balai Mengadap, Istana Bukit Serene, di sini.
Majlis itu turut dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan Yang Dipertua Jumaah Majlis Diraja Johor, Datuk Dr. Abdul Rahim Ramli.
Sebelum ini Asman Shah telah memegang pelbagai jawatan, antaranya Pegawai Daerah Johor Bahru, Datuk Bandar Pasir Gudang, Pengarah Tourism Johor serta Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor.
Beliau merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dari Universiti Malaya serta Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dan Ekonomi dari Universiti Chiba, Jepun. – Majestic
