Polis tumpas rangkaian militan ekstrem warga asing, tahan 36 warga Bangladesh

PUTRAJAYA: Pihak polis berjaya menumpaskan satu rangkaian militan warga asing dengan penahanan 36 rakyat Bangladesh yang disyaki terbabit secara langsung dalam gerakan berpaksikan fahaman ekstremis itu.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, penahanan dilakukan menerusi tiga fasa operasi keselamatan terancang di sekitar Selangor dan Johor bermula 24 April lalu.

“Dalam operasi terbabit, lima daripada mereka dikenal pasti terlibat di bawah Bab VIA Kanun Keseksaan dan telah didakwa di Mahkamah Seksyen Shah Alam serta Johor Bahru.

“Sebanyak 15 individu lagi telah dikenakan perintah pengusiran manakala 16 individu sedang disiasat terkait penglibatan mereka dalam gerakan militan itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata hasil risikan dan tindakan bersepadu Pasukan Cawangan Khas mendapati kumpulan berkenaan membawa masuk fahaman pelampau berasaskan ideologi Daesh ke dalam negara.

Katanya, kumpulan itu turut mewujudkan sel pengrekrutan dalam kalangan komuniti mereka bagi tujuan mengindoktrinasikan fahaman radikal, mengumpul dana dan menjatuhkan kerajaan sah di negara asal mereka.

“Saya ingin menegaskan bahawa Malaysia tidak akan menjadi tempat berlindung, apatah lagi medan anasir subversif untuk mana-mana gerakan ekstremis asing.

“Tindakan yang diambil ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI amat serius dan tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana elemen yang boleh mengancam keselamatan negara,” katanya lagi.

Beliau berkata kejayaan itu juga membuktikan kecekapan dan profesionalisme pasukan keselamatan negara khususnya PDRM dalam memelihara kedaulatan, keharmonian, dan ketenteraman awam.

“Sebarang cubaan menjadikan Malaysia sebagai pangkalan operasi militan atau pusat transit gerakan ekstremis akan ditangani dengan tindakan tegas, pantas dan berkesan,” katanya. – MN

More From Author

Lima pelajar MRSM disyaki membuli direman tiga hari

Apek rindu julang trofi