KUALA LUMPUR: Penjaga gol Sabah FC, Khairul Fahmi Che Mat berhasrat mampu merangkul satu trofi pada musim 2025/26 selepas mengharungi tiga musim penuh mencabar bersama kelab itu.
Khairul Fahmi atau lebih dikenali sebagai Apek sudah bersama Sabah FC sejak musim 2022 dan membantu skuad Badak menduduki tangga ketiga selama tiga tahun berturut-turut.
Memasuki musim keempat, bekas penjaga gol kebangsaan itu percaya kelab berkenaan di landasan tepat untuk mencabar pasukan lain untuk musim baharu nanti.
Bahkan, dia memasang impian besar untuk melihat pasukan itu berjaya melangkah lebih jauh baik di pentas Piala Malaysia atau Piala FA bagi sekurang-kurangnya merangkul satu trofi.
“Sudah tiga musim sejak saya hadir ke sini, Sabah FC menamatkan saingan liga di tangga ketiga. Jadi sudah tentu secara peribadi, saya mahu lihat pasukan ini sekurang-kurangnya dapat merasai pentas final tidak kira di Piala Malaysia atau Piala FA.
“Sebelum ini kalau kita tengok, biasanya kita akan berjaya sampai ke suku akhir atau separuh akhir sahaja. Tetapi saya percaya dengan persediaan lebih baik, kita boleh merangkul satu trofi.
“Jadi, saya harap Sabah FC dapat bersaing lebih cemerlang dan dapat bagi tentangan sengit kepada kelab lain di pentas Liga Super, dan terima kasih kepada semua penyokong yang sentiasa ada bersama kami,” katanya.
Sebelum ini, Khairul Fahmi pernah menjulang dua gelaran Liga Super, dua gelaran Piala Malaysia serta dua Piala FA ketika bersama Kelantan. – BH
