KUALA LUMPUR: Seorang pemandu dan dua penumpang sebuah bas persiaran cedera apabila ianya terbabas lalu merempuh besi penghadang jalan di Kilometer 12 Jalan Genting-Bentong, malam tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, pemandu bersama seorang penumpang tempatan berumur dan seorang penumpang warga asing mengalami kecederaan ringan akibat kemalangan sekitar pukul 7.45 malam itu.
Jelasnya, pihak polis menerima panggilan daripada orang awam berhubung insiden itu sebelum pasukan bergegas ke lokasi kejadian.
Katanya lagi, kejadian berlaku ketika bas membawa 25 penumpang itu sedang dalam perjalanan menuruni bukit dari Genting Highlands menuju ke Serdang, Selangor.
“Hasil siasatan awal mendapati bas terbabit dipercayai hilang kawalan ketika melalui satu selekoh sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Susulan itu, beliau berkata, pemandu bas dan dua penumpang wanita dibawa ke Hospital Bentong untuk rawatan lanjut, manakala penumpang lain dilaporkan tiada mengalami sebarang kecederaan.
“Tiada kenderaan lain terbabit dalam kemalangan itu,” katanya. – MN
