KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia berjaya dibawa keluar dari Iran dengan selamat dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam ini.
Mereka dijangka tiba di KLIA pada jam 10.50 malam dengan menaiki pesawat Malaysia Airlines melalui penerbangan MH781.
Menurut Wisma Putra, kumpulan itu berlepas dengan menaiki pesawat Turkmenistan Airlines penerbangan T5-647, hari ini, dan kini dalam perjalanan ke Malaysia melalui Bangkok, Thailand.
Evakuasi itu dikendalikan oleh Kedutaan Malaysia di Tehran dan diselaraskan bersama Kedutaan Malaysia di Ashgabat serta Bangkok.
Khamis lalu, media melaporkan misi memindahkan rakyat Malaysia termasuk kakitangan kedutaan, keluar dari Iran sedang diusahakan Kementerian Luar menerusi pergerakan mengikut jalan darat ke timur laut Tehran menuju sempadan negara itu dengan Turkmenistan.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, dipetik berkata dari sempadan kedua-dua negara itu pula mereka akan menuju bandar raya Ashgabat.
Semalam, Mohamad dilapor mengarahkan Kedutaan Malaysia menutup sementara operasinya di Iran.
Beliau sekali gus mengarahkan semua warga Kedutaan Malaysia di negara sedang bergolak itu supaya pulang ke tanah air dengan segera.
Malah, Mohamad mengesahkan banyak kedutaan negara-negara lain juga sudah berbuat demikian susulan perkembangan terbaru yang menyaksikan peningkatan ketegangan konflik Iran-Israel.
Presiden Donald Trump dalam satu catatan di Truth Social, semalam, mengumumkan Amerika Syarikat (AS) telah melancarkan serangan ke atas tiga tapak nuklear di Iran, termasuk Fordow, Natanz dan Esfahan. – BH
