Miki tewas bermaruah

KUALA LUMPUR: Hasrat petarung muda negara, Muhammad Mikail Ghazali Zulfikar untuk mencipta kejutan tidak kesampaian apabila tewas kepada peserta tuan rumah, Ryu Hanaoka pada aksi RISE World Series 2025 yang diadakan di Yokohama, Jepun, hari ini.

Mikail atau lebih dikenali dengan Miki, turun dalam kategori Super Fight 54 kilogram (kg), cuba memberi tentangan dalam ketiga-tiga pusingan tetapi Hanaoka dilihat lebih berpengalaman untuk menang menerusi keputusan sebulat suara (unanimous decision).

Pada pusingan pertama, atlet Muay Thai berusia 16 tahun itu dilihat lebih banyak melakukan serangan melalui tendangan dan pukulan tangan, sementara lawannya pula lebih memilih untuk bermain sedikit perlahan bagi membaca permainan Miki.

Dua pusingan seterusnya, Hanaoka mula meningkatkan intensiti serangan ke arah lawannya dan menggunakan pengalamannya bagi mengawal gelanggang sehingga memberi sedikit kesukaran buat Miki untuk bergerak serta membalas kembali serangan berkenaan.

Strategi agresif dengan tumbukan demi tumbukan membolehkan atlet berusia 21 tahun itu berjaya memikat hati juri untuk memihak kepada dirinya.

Biarpun tewas, pujian perlu diberikan kepada Miki kerana memaksa lawannya yang juga pemenang tali pinggang Knock Out Black Super Flyweight itu berlawan sehingga tiga pusingan penuh. – BH

More From Author

3 cedera bas persiaran turun Genting Highlands terbabas, rempuh penghadang jalan

Kilang terbakar: Guna pelitup muka, kandungan sulfur dalam udara