UTM sasar bimbing 200 PKS

JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyasaran untuk membantu dan membimbing sekurang-kurangnya 200 Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) tempatan menjelang tahun 2030.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berkata, langkah strategik menerusi Institut Bioproduk (IBD) itu bertujuan memperkasakan usahawan PKS daripada pelbagai aspek komersial termasuk lonjakan hasil jualan, peningkatan kualiti produk serta produktiviti syarikat.

Menurutnya, sejak ditubuhkan pada 1998, IBD telah berjaya melahirkan ramai usahawan tempatan yang berjaya mengkomersialkan produk hasil penyelidikan makmal ke pasaran luar.

“Setakat ini, kita telah mencapai kira-kira 10 peratus daripada sasaran keseluruhan dan graf peningkatan itu menunjukkan perkembangan positif setiap tahun.

“Malah, produk komersial berasaskan teknologi IBD ini telah diguna pakai oleh banyak syarikat di sekitar kawasan koridor industri negeri seperti di Taman Universiti, Kulai Indah dan Pasir Gudang untuk pasaran masing-masing,” katanya selepas merasmikan Program Hari Kesejahteraan IBD (IBD Wellness Day) 2026 di Institut Pembangunan Bioproduk UTM, di sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Pengarah IBD UTM, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Rosnani Hasham.

Pada majlis tersebut, Mohd. Shafry mewakili UTM mengadakan pertukaran dokumen Perjanjian Pelesenan Teknologi (TLA) dengan syarikat Trinovate Lab Group Sdn. Bhd. bagi membolehkan pengeluaran serta pemasaran produk Hair Tonic dalam pasaran tempatan dan antarabangsa.

Selain itu, sesi Pertukaran Dokumen Perjanjian Penyelidikan Kolaboratif (RCA) antara IBD UTM dengan Syarikat Phyto Biznet Sdn. Bhd. turut diadakan bagi memperkukuh penyelidikan bersama dalam pembangunan bioproduk dan kosmetik berasaskan sumber semula jadi.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafry berkata, UTM kini dalam perancangan aktif untuk meluaskan jaringan kerjasama dengan pelbagai agensi pembiayaan dan kerajaan bagi membantu usahawan bimbingannya menembusi pasaran yang lebih luas.

Antara agensi yang dikenal pasti termasuk Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM), Tekun Nasional (Tekun), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), SME Bank serta pusat penyelidikan berkaitan bagi penyediaan dana, geran dan pinjaman perniagaan.

“Kerjasama erat ini penting supaya kita dapat membentangkan potensi produk tempatan ke peringkat tertinggi seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Kementerian Ekonomi serta Unit Perancang Ekonomi (EPU) negara.

“Melalui pengukuhan aspek penjenamaan (branding) dan kualiti, kita yakin produk herba warisan Melayu seperti yang berasaskan tongkat ali, kacip fatimah, serai wangi dan nanas mampu bersaing di pasaran antarabangsa seperti Indonesia, Thailand, Filipina dan China,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi kejayaan agenda pembudayaan keusahawanan universiti itu yang menyaksikan tiga syarikat pemula (startup) diasaskan mahasiswa UTM berjaya menembusi senarai berprestij ‘Forbes 30 Under 30 Asia’ dalam tempoh lima tahun kebelakangan ini.

Katanya, syarikat tersebut melibatkan RunCloud yang memfokuskan teknologi digital, selain dua lagi syarikat berasaskan teknologi robotik serta kecerdasan buatan (AI).

“UTM kini merangka strategi agar setiap institusi penyelidikan di universiti ini mampu melahirkan kumpulan mahasiswa yang berupaya membina perniagaan sendiri berteraskan teknologi makmal.

“Hasil inovasi terbaharu dalam bidang AI dan robotik ini juga dijadual dipamerkan dalam satu acara khas di Kuala Lumpur pada Oktober atau November depan bagi membuktikan keupayaan produk inovasi tempatan ke peringkat global,” katanya. – MAJESTIC

More From Author

MyCARE, Econsave sasar RM150,000 bantu Gaza

DAP mungkin keluar kerajaan jika BN menang PRN N.9