BATU PAHAT: Dilabelkan sebagai salah satu kawasan kritikal apabila hanya memperoleh majoriti 294 undi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022 tidak melemahkan semangat jentera parti untuk mengusahakan sesuatu yang terbaik bagi menpertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani.
Penyandang, Datuk Mohamad Najib Samuri yang mewakili Barisan Nasional (BN) yakin dengan usaha gigih dilakukan sejak 2022 sehingga berjaya menyelesaikan beberapa perkara tertangguh sebelum ini seperti pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Suria Jaya, Jalan Tan Sri Mohamad dan pencahayaan di Jalan Parit Jambi yang akan dipasang dalam masa terdekat mampu membuka mata untuk terus menyokong BN pada PRN Johor kali ini.
Selain itu, usaha mendekati masyarakat dengan cara bersemuka dalam program turun padang yang dilaksanakan juga banyak membantu mengembalikan sokongan kepada BN termasuk kira-kira 19,000 pengundi kaum Cina.
“Nak tahu kritikal atau tidak, kita tunggu 11 Julai ini, kami yakin sokongan akan menyebelahi BN apatah lagi dengan kempen serta kerja keras sejak empat tahun lalu telah dilaksanakan tanpa henti.
“Berbaki empat hari lagi, dengan pelbagai insentif dan program daripada kerajaan negeri Johor sejak dua tahun lalu, saya yakin pengundi akan terus memberikan kepercayaan kepada BN untuk menerajui pentadbiran kerajaan,” katanya ketika ditemui, di sini.
Gerakan pihaknya adalah menemui orang banyak pengaruh (OBP) di kawasan Parit Yaani agar mereka dapat mempengaruhi ahli dalam kumpulan untuk bersama-sama dengan BN.
“Paling penting sekali adalah memastikan semua jentera parti mampu bergerak dengan baik pada Sabtu ini kerana mereka adalah kumpulan yang akan menentukan kehadiran pengundi di pusat mengundi,” katanya. – MAJESTIC
