Kempen PH tanam kebencian, hasutan – Azleen

JOHOR BAHRU – Pemuda UMNO Johor mendakwa kempen Pakatan Harapan (PH) sejak akhir-akhir ini banyak menanamkan kebencian serta hasutan.

“Kempen yang sepatutnya diwarnai dengan pelbagai idea-idea segar dan macam-macam hidangan mengenai masa depan indah impian Bangsa Johor, hanyalah dicemari dengan kata-kata nista, momokan, ugutan dan kata-kata keji.

“Kata orang, apa yang keluar dari mulut itu cerminan isi hati. Dua hari suntuk menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, tapi yang keluar dari mulut semua yang tak betul tentang orang lain.

“Bukan tentang apa yang nak dibuat dan nak diberi. Lebih mengecewakan, diri sendiri termakan dan terperangkap dengan naratif menghasut dan membenci yang direka-reka sendiri,” kata Ketuanya, Noor Azleen Ambros dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelajah ke negeri ini semalam dan kelmarin untuk berkempen dan banyak mengkritik Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dan kerajaan negeri.

Antara yang dibangkitkan Pengerusi PH itu adalah masalah rumah rakyat terutama untuk penjawat awam selain pimpinan yang sombong.

Mengulas lanjut, Noor Azleen berkata, pemimpin berkenaan bercerita tentang akhlak tetapi tindakan dan apa yang keluar dari mulut menyerlahkan perangai sebenar.

“Cerita tentang reformis, tapi yang keluar pelbagai jenis ugutan dan tohmahan kerana kuasa telah menguasai diri.

“Yang dipenjara tak pernah pun minta dibebaskan melalui saluran pilihan raya. Yang dibebaskan dari penjara melalui saluran pilihan raya pula merasakan hanya pilihan raya satu-satunya jalan keluar untuk bebas dari penjara.

“Ingatlah, pangkat dan kuasa hanya sementara. Bangsa Johor tak mudah alpa. Bangsa Johor tak mudah digula-gula,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Andalusia Tawar Pakej Umrah Singkat RM5,990 Bantu Golongan Bekerja

Tunggu 11 Julai, DUN Parit Yaani tak kritikal – Najib