PH perlu perjelas gagal tunai janji lama

JOHOR BAHRU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Dr. Maszlee Malik perlu mengadakan dialog menjelaskan mengapa janji Pakatan Harapan (PH) dalam pilihan raya terdahulu masih tidak ditunaikan.

Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP Malaysia), Datuk Dr. Loga Bala Mohan berkata, penjelasan wajar diberikan sebelum PH menawarkan janji baharu agar rakyat faham dan tahu sebab tidak menunaikan janji.

“Jutaan rakyat telah memberikan undi mereka berdasarkan janji-janji tersebut, namun akhirnya ramai yang berasa kecewa apabila pelbagai komitmen sama ada ditinggalkan, ditangguhkan atau tidak dilaksanakan sepenuhnya tanpa penjelasan yang memuaskan.

“Sekiranya Maszlee benar-benar prihatin terhadap rakyat dan ikhlas mahu mewakili pengundi di Puteri Wangsa, perkara pertama perlu beliau lakukan ialah mendesak Datuk Seri Anwar tampil memberikan penjelasan mengapa PH gagal menunaikan komitmen yang telah dijanjikan, khususnya kepada masyarakat India.

“Sebelum memohon mandat baharu daripada rakyat, mereka terlebih dahulu perlu bertanggungjawab terhadap mandat yang pernah diberikan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, antara janji yang masih menuntut penjelasan ialah komitmen PH untuk menyelesaikan isu masyarakat India tanpa kerakyatan dalam tempoh 100 hari selepas membentuk kerajaan.

Walaupun terdapat beberapa kes yang berjaya diselesaikan, beliau berkata, isu tersebut tidak dapat ditangani secara menyeluruh dalam tempoh yang dijanjikan.

PH juga berjanji untuk menubuhkan Dana Pembangunan Masyarakat India bernilai RM4 bilion bagi tempoh 10 tahun, namun dana tersebut tidak pernah diwujudkan sepenuhnya seperti dijanjikan dalam manifesto.

Menurutnya, PH turut berjanji memastikan 10 peratus daripada pengambilan baharu di syarikat berkaitan kerajaan (GLC), agensi persekutuan, pihak berkuasa negeri dan pihak berkuasa tempatan terdiri daripada masyarakat India.

Namun, katanya, tiada pelaksanaan secara menyeluruh di peringkat nasional yang membuktikan sasaran tersebut sudah dicapai. – MAJESTIC

More From Author

Tunggu 11 Julai, DUN Parit Yaani tak kritikal – Najib

Jangan undi calon yang takut isytihar harta – MUDA