‘Poster boy’ belum tentu jadi MB, istana tentukan – Ahmad Zahid

KOTA TINGGI: Pelantikan Menteri Besar Johor adalah di bawah perkenan Sultan Johor.

Justeru, siapa pun menjadi poster boy belum tentu dilantik sebagai Menteri Besar, tegas Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang lalu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad merupakan poster boy Barisan Nasional (BN), namun sebaliknya Datuk Onn Hafiz Ghazi dilantik sebagai Menteri Besar Johor.

“Meskipun Datuk Seri Ir Hasni merupakan poster boy ketika itu juga seorang pemimpin yang sangat baik, pelantikan Onn Hafiz atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor terbukti tepat untuk negeri Johor.

“Dalam keadaan teknologi moden sekarang, kita tak perlu pergi ke shopping mall, boleh beli barang secara online. Saya order barang lain, barang lain sampai. Yang faham tak apa, tak faham pun tak apa.

“Tetapi barang yang saya order lain, barang lain sampai, rupanya barang yang sampai ini jauh lebih baik daripada barang yang diorder. Ertinya, Duli Yang Maha Mulia Tuanku tidak salah pilih,” katanya.

Beliau berkata demikan dalam ucapan pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2025 dan Santunan Kasih Kejora di Lotus Desaru di sini hari ini. – MAJESTIC

More From Author

PH sedia kerjasama bentuk kerajaan negeri – Maszlee

Harap BN Johor menang besar