PH sedia kerjasama bentuk kerajaan negeri – Maszlee

JOHOR BAHRU: Pakatan Harapan (PH) sedia menjalin kerjasama dengan mana-mana parti bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Dr. Maszlee Malik berkata, PH terbuka dan akan menjalin kerjasama walaupun dengan pihak yang berlainan haluan gabungan parti politik tersebut.

“Perkara teras yang harus difahami ialah kepentingan rakyat di negeri ini yang perlu diberikan keutamaan.

“Bagi saya, sebagai pihak yang berkhidmat kepada rakyat, kita terbuka untuk duduk dengan semua pihak, termasuk yang mungkin berlainan haluan dengan kita.

“Sebab kita meraikan kepelbagaian. Yang penting, kita meletakkan keutamaan kepada rakyat dan juga kepada negeri Johor,” katanya selepas mengadakan walkabout di Setia Indah, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Dr Sahruddin Jamal menegaskan gabungan itu tetap tidak akan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor, 11 Julai ini.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor itu berkata, gabungan tersebut terbuka bergabung dengan parti mempunyai ideologi sehaluan.

Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa berkata, kempen yang digerakkan jenteranya mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

“Kempen yang memasuki hari keenam ini akan diperkemaskan dengan memastikan setiap kawasan di Puteri Wangsa ini dikunjungi bagi mendekati pengundi.

“Dalam menuju minggu terakhir ini, kita akan merayu kepada mereka yang bekerja di luar, duduk di luar, untuk balik pulang mengundi,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Dua beradik ditahan seludup dadah hampir RM7 juta

‘Poster boy’ belum tentu jadi MB, istana tentukan – Ahmad Zahid