KLUANG: Exco Pemuda UMNO, Datuk Nazifuddin Najib berharap Barisan Nasional (BN) akan memperoleh kemenangan besar melebihi dua pertiga dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke 16 pada 11 Julai ini.
Justeru, menurutnya, kemenangan besar itu nanti akan menjadi isyarat nyata bahawa rakyat bukan sahaja di Johor namun di seluruh negara sudah kembali menyayangi BN.
“Naratif yang dimainkan pihak sebelah sana bahawa kemenangan besar BN di Johor akan menyebabkan pembebasan Datuk Seri Najib adalah tiada kaitan langsung kerana bukan berlaku pertukaran Perdana Menteri.
“Ia menjadi hak mutlak Yang di-Pertuan Agong sama ada membebaskan atau tidak dan saya percaya kalau Bossku dibebaskan pasti ramai yang gembira,” katanya ketika ditemui dalam Program Bual Bicara Santai di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Melayu II di sini malam tadi.
Beliau berharap pengundi Johor akan terus memberikan mandat kepada BN kerana telah terbukti keberkesanannya walaupun hanya dalam satu penggal dan percaya ia akan menjadi lebih baik pada penggal-penggal akan datang.
“Saya mengharapkan masa depan Johor yang lebih baik dan untuk perancangan masa depan yang panjang kita harap pemerintahan kerajaan BN dapat diteruskan,” katanya. – MAJESTIC
