Dua beradik ditahan seludup dadah hampir RM7 juta

JOHOR BAHRU: Dua beradik diberkas kerana disyaki cuba menyeludup pelbagai jenis dadah bernilai hampir RM7 juta menggunakan bot fiber di perairan Tanjung Piai, Pontian, Ahad lalu.

Pemangku Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Maritim (Maritim Malaysia) Johor, Kapten Maritim Kama Azri Kamil berkata, dua beradik berusia dalam lingkungan 20-an dan 40-an itu ditahan pada pukul 12.36 tengah malam selepas bot dinaiki mereka dipintas pada kedudukan 3.5 batu nautika dari Tanjung Piai.

Beliau berkata, pemeriksaan ke atas bot menemukan kira-kira 88.2 kilogram dadah disyaki syabu bernilai RM4.41 juta serta lebih 30,000 biji pil ekstasi bernilai RM2.25 juta yang disembunyikan di bawah tempat duduk tekong dan longgokan pukat.

“Hasil siasatan lanjut membawa kepada pemeriksaan sebuah Perodua Myvi berwarna kuning di sebuah kediaman di Gelang Patah yang menemukan 787 kartrij vape disyaki mengandungi dadah sintetik baharu dikenali sebagai ‘Piu Piu’ bernilai RM196,750.

“Kenderaan itu turut disita, manakala bot fiber bersama enjin sangkut yang digunakan dalam kegiatan itu juga dirampas sebagai barang kes,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Maritim Johor di sini hari inu.

Menurutnya, keseluruhan nilai rampasan termasuk dadah, kenderaan, bot dan enjin sangkut dianggarkan RM6.95 juta.

Beliau berkata, saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif dadah jenis methamphetamine.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Tambahnya, maritim akan terus memperhebat operasi penguatkuasaan dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan serta jenayah rentas sempadan di perairan negara.- MAJESTIC

More From Author

Senarai penuh calon BN PRN Johor

PH sedia kerjasama bentuk kerajaan negeri – Maszlee