SEPANG, 6 Julai — Agensi pelancongan Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia) memperkenalkan pakej umrah jangka pendek sembilan hari tujuh malam pada harga serendah RM5,990 bagi memenuhi keperluan golongan bekerja yang menghadapi kekangan cuti panjang.
Pengarah merangkap Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris berkata, pakej alternatif itu direka khas bagi membolehkan jemaah menunaikan ibadah dalam tempoh singkat tanpa mengetepikan aspek keselesaan sepanjang perjalanan.
Beliau menjelaskan bahawa pakej berkenaan menggunakan perkhidmatan penerbangan Malaysia Airlines (MAS) serta menyediakan penginapan empat malam di Makkah dan tiga malam di Madinah menggunakan hotel kategori jarak sederhana.
“Dengan harga ini, saya rasa ia amat berbaloi untuk mereka yang tidak dapat mengambil cuti panjang tetapi masih selesa menunaikan umrah dalam tempoh yang singkat,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelepasan kumpulan 91 jemaah umrah ke Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, malam semalam.

Menurut Ida Riswana, inisiatif tersebut merupakan sebahagian daripada strategi syarikat untuk merancakkan lagi permintaan sempena musim umrah baharu yang bermula pada bulan Muharam, sekali gus memberi lebih banyak pilihan kepada bakal jemaah.
Beliau mendedahkan sambutan bagi musim baharu ini amat menggalakkan dengan merekodkan pendaftaran seramai 29,000 jemaah setakat ini, berbanding hampir 66,000 jemaah pada musim lepas yang menyaksikan prestasi melepasi sasaran syarikat.
Peningkatan trend pendaftaran itu, katanya, didorong oleh kesedaran masyarakat yang semakin tinggi serta kepelbagaian variasi pakej yang ditawarkan mengikut kemampuan kewangan pelanggan.
Mengulas lanjut, Ida Riswana berkata trend menunaikan umrah kini memperlihatkan peralihan demografi apabila semakin ramai golongan muda, usahawan dan keluarga memilih ibadah tersebut sebagai aktiviti pengisian rohani, berbanding penguasaan warga emas sebelum ini.
“Umrah bukan lagi hanya untuk warga emas, tetapi turut menjadi pilihan usahawan, golongan muda dan keluarga sebagai satu bentuk perjalanan yang menggabungkan ibadah, muhasabah diri serta mengeratkan silaturahim,” katanya.
Sementara itu, Andalusia turut melancarkan kempen ‘Andalusia 7.7 Deals’ yang berlangsung sehingga esok (7 Julai), bagi memberi peluang kepada orang ramai menikmati pelbagai tawaran potongan harga untuk pakej umrah dan pelancongan.
Pelanggan boleh membuat tempahan secara dalam talian menerusi laman web rasmi syarikat dengan menggunakan kod promosi ’77ATTSB2026′ semasa proses pembayaran bagi menikmati diskaun bernilai antara RM77 sehingga RM1,000, bergantung kepada pakej pilihan.
Selain penjimatan berkenaan, setiap tempahan yang berjaya dalam tempoh kempen turut layak menyertai cabutan bertuah yang menawarkan hadiah utama berupa lapan buah kereta. – MAJESTIC
