JOHOR BAHRU – Kekalahan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16 bukan noktah perjuangan bagj Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk rakyat.
Ketua Badan Pimpinan Bersatu Johor, Datuk Dr. Sahruddin Jamal berkata, usaha dan perjuangan menyantuni rakyat akan tetap diteruskan.
“Kekuatan sesebuah perjuangan bukan hanya diukur melalui kemenangan pilihan raya, tetapi melalui kesetiaan, keikhlasan dan kesanggupan untuk terus berkhidmat kepada rakyat dalam apa jua keadaan.
“Keputusan pilihan raya bukanlah noktah kepada perjuangan. Sebaliknya, ia menjadi satu pengalaman yang amat berharga untuk kita melakukan muhasabah, memperkukuhkan organisasi dan menyusun gerak kerja dengan lebih tersusun bagi menghadapi cabaran yang akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
BPN Bersatu Johor menyeru seluruh jentera agar terus kekal bersemangat, bersatu hati dan tidak mudah berputus asa.
Beliau yang juga bekas Menteri Besar Johor berkata, usaha mendekati rakyat, mendengar denyut nadi mereka serta memainkan peranan sebagai semak dan imbang yang bertanggungjawab akan diteruskan demi memastikan kebajikan serta kepentingan rakyat sentiasa terbela.
Pada PRN Johor ke-16, Bersatu tewas semua 16 kerusi DUN ditandingi termasuk di Bukit Kepong selepas dua penggal memenanginya menerusi Dr Sahruddin.
Berdasarkan keputusan PRN Johor ke-16, BN memenangi 48 daripada 56 kerusi yang dipertandingkan, manakala lapan lagi oleh Pakatan Harapan (PH).- MAJESTIC
