JOHOR BAHRU: Belia Parti Progresif Penduduk (PPP) mengesa kepimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) mempertimbangkan untuk memberi dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Ketua Belia PPP, S. Sathiah berkata, ia sebagai pengiktirafan terhadap kesetiaan, komitmen dan sumbangan berterusan PPP sebagai parti komponen BN.
“PPP bukan sekadar parti komponen atas nama. Sejak penubuhannya, PPP sentiasa bersama BN mengharungi pelbagai cabaran politik dan terus mempertahankan semangat perjuangan gabungan.
“Walaupun berdepan pelbagai cabaran, ahli dan pemimpin PPP kekal setia serta terus bekerja untuk memastikan kemenangan BN,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, komitmen tersebut terbukti jelas dalam PRN Johor, apabila jentera PPP dari seluruh negara digerakkan untuk membantu calon-calon BN.
Ahli-ahli PPP turun padang tanpa mengira masa dan tenaga, mengendalikan bilik gerakan, melaksanakan kempen dari rumah ke rumah, mobilisasi pengundi serta pelbagai aktiviti bagi memastikan kemenangan BN.
“Kesetiaan dan pengorbanan parti-parti komponen tidak seharusnya hanya dihargai ketika musim pilihan raya. Ia juga perlu diterjemahkan melalui peluang yang adil untuk mewakili BN dalam pilihan raya.
“Memberikan sekurang-kurangnya satu kerusi DUN kepada PPP di Negeri Sembilan bukanlah satu tuntutan yang keterlaluan.
“Sebaliknya, ia merupakan satu pengiktirafan yang wajar terhadap jasa dan sumbangan sebuah parti komponen yang sentiasa berdiri teguh bersama BN,” katanya. – MAJESTIC
