JOHOR BAHRU: Seramai 80 warga asing dicekup dalam serbuan di dua buah kilang di Kawasan Perindustrian Larkin, di sini semalam.
Pengarah Imigresen Johor, Datuk Mohd. Rusdi Mohd. Darus berkata, Ops Mahir itu dilakukan pukul 9 pagi di kilang komponen jam dan pengeluar makanan ringan.
“Serbuan ini berjaya membongkar penggunaan pekerja asing tanpa pas yang sah, apabila seramai 80 warga asing ditahan.
“Mereka dipercayai bekerja tanpa kebenaran, gagal mengemukakan dokumen sah serta melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Warga asing itu terdiri daripada lima lelaki warganegara Pakistan, 16 lelaki Bangladesh, sembilan lelaki Indonesia, enam lelaki Myanmar, 13 wanita Indonesia dan 31 wanita Myanmar.
Turut ditahan seorang warga tempatan yang merupakan pegawai sumber manusia kilang tersebut dan mereka berusia antara 19 tahun 48 tahun.
Mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan Peraturan Imigresen 1963 dan kini ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan lanjut.
“Serbuan ini adalah hasil pemantauan intensif selama beberapa minggu, susulan maklumat mengenai kegiatan majikan yang dipercayai menggajikan warga asing secara tidak sah bagi mengelakkan kos penggajian yang lebih tinggi,” ujarnya.- MAJESTIC
