JETP agenda berani, berpandangan jauh

JOHOR BAHRU: Pelan Transformasi Ekonomi Johor (JETP) merupakan satu agenda pembangunan yang berani, strategik dan berpandangan jauh dalam memperkukuh kedudukan Johor sebagai kuasa ekonomi utama negara serta hab pertumbuhan serantau yang berdaya saing.

Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd. Shafry Mohd. Rahim berpendapat bahawa JETP merupakan satu anjakan penting daripada memberi penekanan terhadap jumlah pelaburan yang diluluskan kepada mempercepatkan realisasi pelaburan secara lebih tersusun, berkesan dan berimpak tinggi.

“Penekanan terhadap kesiapsiagaan infrastruktur, dasar mesra pelabur, fasilitasi pelaburan, pembangunan modal insan serta pengkhususan ekonomi mengikut daerah memperlihatkan pendekatan yang praktikal, menyeluruh dan berorientasikan pelaksanaan,” katanya ketika diminta mengulas pelancaran JETP oleh Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, kelmarin.

Beliau turut menyambut baik tumpuan JETP terhadap sektor bernilai tinggi seperti ekonomi digital, kecerdasan buatan (AI), teknologi hijau, pembuatan termaju, aeroangkasa, inovasi, TVET dan pembangunan bakat masa hadapan.

“Keutamaan ini amat selari dengan peranan universiti sebagai rakan strategik kerajaan dan industri dalam membangunkan modal insan berkemahiran tinggi, memperkukuh penyelidikan berimpak, serta mempercepatkan pengkomersialan inovasi.

“Sebagai sebuah universiti yang bertapak kukuh di Johor dan mempunyai jaringan nasional serta global, UTM bersedia untuk menyokong pelaksanaan JETP menerusi kepakaran akademik, penyelidikan, inovasi, pembangunan bakat, analitik dasar dan kerjasama strategik bersama industri.

“UTM juga melihat ruang yang besar untuk memperkukuh kerjasama antara kerajaan, universiti dan industri bagi memastikan keperluan bakat, teknologi dan penyelidikan dapat diselaraskan dengan sektor-sektor keutamaan ekonomi Johor,” katanya.

Beliau turut mencadangkan supaya agenda itu turut disokong oleh mekanisme pemantauan yang jelas, termasuk pelaporan kemajuan, petunjuk prestasi utama, impak kepada daerah, penciptaan pekerjaan dan tahap realisasi pelaburan bagi memperkukuhkan impak pelaksanaannya.

Tegasnya, pendekatan itu akan dapat meningkatkan keyakinan pelabur, memperkukuh ketelusan pelaksanaan serta membantu masyarakat memahami manfaat langsung daripada JETP terhadap pembangunan negeri dan kesejahteraan rakyat.

“Secara keseluruhannya, UTM menyokong aspirasi JETP sebagai satu pelan transformasi ekonomi yang berpotensi besar untuk memacu pertumbuhan Johor secara mampan, inklusif dan berdaya saing.

“Justeru, UTM komited untuk menjadi rakan strategik kerajaan negeri dalam menjayakan agenda ini demi pembangunan ekonomi negeri yang lebih progresif dan masa depan rakyat yang lebih sejahtera,” katanya. – MAJESTIC

More From Author

Muda calonkan Rashifa pertahan DUN Puteri Wangsa

Kaum Cina tak terpinggir di Kluang