SEGAMAT: Seorang pemandu treler didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga sekeluarga di Kilometer 212, Jalan Johor Bahru-Gemas, Khamis lalu.
Muhammad Syafiq Salleh, 29, yang didapati positif dadah mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Amalina Johar.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, dia yang masih bujang didakwa membunuh S Palamiandy, 77; K Myakrishnan; 72, dan S Sevendai, 62, padaj am 3.50 petang, 2 April lalu.
Dia didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara minimum 30 tahun dan maksimum 40 tahun serta sebatan tidak lebih 12 kali sekiranya tidak dihukum gantung.
Pada prosiding itu, pihak pendakwaan diketuai Timbalan Pendakwa Raya, Nur Aina Muhammad Ismail Tadj manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu pihak pendakwaan memberitahu mahkamah memohon satu tarikh baru memandangkan belum menerima laporan bedah siasat, laporan perubatan, laporan Puspakom, laporan forensik dan laporan patalogi.
Mahkamah kemudian membenarkan permohonan pihak pendakwaan dan tidak menawarkan ikat jamin terhadap tertuduh dengan kes disebut semula pada 21 Mei ini.
Dalam kejadian tersebut, sebuah treler dipandu suspek melanggar belakang sebuah van dinaiki lima sekeluarga.
Akibat pelanggaran tersebut van berkenaan hilang kawalan sebelum masuk laluan bertentangan dan melanggar bahagian hadapan sebuah lori.
Dalam kejadian tersebut, pasangan suami isteri Myakrishnan dan Sevendai serta dan
pemandu van, Palamiandy, maut.
Suspek yang didapati positif dadah jenis methamphetamine ditahan reman selama empat hari bermula Jumaat lalu sebelum dituduh hari ini.- MAJESTIC
