JOHOR BAHRU: Seorang mangsa kebakaran di lima rumah Kampung Plentong Baru di sini yang tinggal sehelai sepinggang menganggap kejadian pada Selasa lalu merupakan ujian amat berat.
Suri rumah, Siti Rozana Ibrahim, 43, berkata, kelima-lima keluarga mangsa kebakaran tidak sempat menyelamatkan dokumen atau barang berharga kerana kejadian berlaku begitu pantas.
Bukan sahaja dokumen penting,malah persiapan Hari Raya Aidilfitri turut musnah dalam kebakaran empat hari menjelang Syawal itu.
“Ia berlaku dalam sekelip mata iaitu dalam tempoh kira-kira 10 minit, api dari rumah jiran belakang marak ke rumah kami kerana angin kuat ketika itu.
“Dalam kejadian jam 11 pagi, saya sedang menyiapkan bahan masakan bagi menyediakan juadah berbuka puasa.
“Ketika itu saya terdengar jiran yang juga adik ipar saya menjerit selepas terlihat asap di rumah belakang.
“Malah saya juga merasakan bahang kebakaran sebelum pantas mengejutkan anak lelaki yang sedang tidur,” katanya ketika ditemui pemberita.
Terdahulu Siti Rozana menerima kehadiran Ketua UMNO Cawangan Kampung Plentong Baru, Kosni Awang dan menerima sumbangan daripada wakil Yayasan Bandaraya Johor Bahru (YBJB).
Dia berkata, ketika kejadian hanya dia dan adik iparnya berada di rumah manakala suami keluar bekerja selain anak lelaki kedua ke sekolah.
Katanya, dalam keadaan kelam-kabut itu dia dan adik iparnya hanya sempat mengalihkan tong gas dari dapur rumah bagi mengelakkan letupan.
Dia mengakui sedih memandangkan pada tahun ini sudah melakukan persiapan awal bagi menyambut Hari Raya Aidilfitri namun segalanya musnah.
“Malah kami juga melakukan beberapa kerja pengubahsuaian rumah pusaka keluarga ini baru-baru ini, tidak sangka akhirnya kehilangan tempat tinggal dan kos bagi membina rumah baharu di tapak ini mungkin memakan puluhan ribu.
“Apa pun kami tetap bersyukur kerana kejadian tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya.
Sementara itu, Kosni berkata, lima keluarga yang terjejas akibat kebakaran itu membabitkan lima rumah bakal dipindahkan ke Projek Perumahan Rakyat (PPR).
Beliau berkata, pihaknya berharap keluarga terjejas dapat menyambut Syawal di PPR berkenaan.
“Semua usaha bagi memindahkan mangsa sedang dijalankan dan kami berterima kasih kepada Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), kerajaan negeri serta sukarelawan terbabit. Kami harap mereka tabah dengan ujian dihadapi,” katanya.
Hadir sama menyampaikan sumbangan kepada mangsa kebakaran, Ahli Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) Zon Desa Harmoni, Khairul Azlan Sulung dan Ketua Kampung Senibong, Abdul Rahim Moin.- MAJESTIC
