JOHOR BAHRU: Unit Penguat Kuasa Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) menahan 17 individu termasuk tiga warga tempatan atas pelbagai kesalahan imigresen di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di sini semalam.
Unit Komunikasi Korporat BSI dalam kenyataan memaklumkan semua yang melakukan kesalahan tersebut ditahan dalam tempoh 24 jam.
“Tangkapan dilakukan hasil pemeriksaan rapi terhadap individu yang dikesan memasuki kawasan BSI tanpa kebenaran serta gagal mengemukakan dokumen perjalanan yang sah.
“Daripada jumlah tersebut, 11 merupakan warga Indonesia, dua warga Singapura, seorang warga Mesir, manakala tiga lagi adalah warga Malaysia yang dipercayai bertindak sebagai pemandu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu memaklumkan, dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menyita empat kenderaan di bawah Seksyen 49A Akta Imigresen 1959/63.
Kes disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c), Seksyen 15(1)(c) dan Seksyen 55E akta berkenaan.
Pihak berkuasa turut memberi amaran tegas kepada orang ramai agar tidak terlibat dalam sebarang aktiviti membawa atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI) dengan tindakan keras termasuk pelucuthakan kenderaan akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yang didapati bersubahat.
