Tiga ‘katak’ minta sedekat ditahan JKM di Johor Bahru

JOHOR BAHRU: Tiga lelaki yang menyamar sebagai maskot karakter kartun bagi meraih simpati orang awam ditahan dalam Operasi Khas Maskot yang dijalankan Pejabat Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Johor Bahru, semalam.

Operasi bermula pukul 10 pagi hingga 9.30 malam itu dilaksanakan susulan aduan tular berhubung peningkatan kegiatan pengemis menggunakan pakaian maskot, khususnya menjelang Ramadan.

Antara lokasi operasi ialah persimpangan lampu isyarat Angsana serta Jalan Padi Emas 1, di Bandar Baru Uda yang dikenal pasti sebagai tumpuan ramai termasuk pengunjung bazar Ramadan.

“Ketiga-tiga lelaki terbabit didapati memakai maskot berbentuk katak dan menjalankan aktiviti meminta sedekah di tengah pembahagi jalan serta di persimpangan lampu isyarat, sekali gus menimbulkan risiko keselamatan.

“Semua individu berkenaan dibawa ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Johor Bahru untuk diambil keterangan dan maklumat latar belakang,” demikan JKM dalam satu kenyataan, hari ini.

Mereka kemudian dilepaskan dengan amaran lisan dan bertulis selepas menandatangani aku janji di hadapan Pegawai Penguat Kuasa JKM.

JKM memaklumkan tindakan di bawah Akta Orang Papa 1977 boleh dikenakan sekiranya mereka mengulangi perbuatan sama pada masa akan datang.

Jabatan tersebut turut menasihatkan orang ramai supaya menyalurkan bantuan melalui saluran yang betul dan sah.- MAJESTIC

More From Author

Ibu, bayi 10 bulan parah kereta terbalik, tayar pecah

Wanita warga emas maut motosikal ditunggangnya bergesel lori