Ibu, bayi 10 bulan parah kereta terbalik, tayar pecah

BATU PAHAT: Ibu dan bayinya parah apabila tayar kereta dinaiki pecah lalu terbalik di Kilometer 19, Jalan Kluang-Batu Pahat dekat sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah berkata, kemalangan berlaku pukul 2.40 pagi.

“Kereta tersebut dipandu seorang lelaki tempatan berumur 26 tahun, isterinya adalah penumpang pertama iaitu wanita tempatan berumur 41 tahun dan penumpang kedua adalah bayi perempuan mereka berumur 10 bulan,” katanya dalam satu kenyataan.

Akibat kemalangan itu lelaki berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tangan kiri manakala isterinya cedera di kepala, kedua-duanya dirawat di Zon Kuning HSNI.

Bayi mereka pula mengalami kecederaan parah di kepala dan dirawat di Zon Merah HSNI.

Mereka dalam perjalanan dari Batu Pahat menuju ke Parit Raja.

Terdahulu tular video berdurasi 53 saat berkenaan kejadian tersebut dalam media sosial yang didakwa berlaku di hadapan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Video tular itu memaparkan beberapa pengguna jalan raya berlari ke lokasi kejadian dalam keadaan kereta tersebut terbakar.

Dapat dilihat bayi berkenaan yang dipercayai tercampak beberapa meter dari kenderaan tersebut sedang dipangku pengguna jalan raya dalam keadaan menangis. – MAJESTIC

More From Author

Palapes: UTM hormati proses perundangan

Tiga ‘katak’ minta sedekat ditahan JKM di Johor Bahru