Wanita warga emas maut motosikal ditunggangnya bergesel lori

KLUANG: Seorang wanita warga emas maut apabila motosikal ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori yang keluar simpang di Jalan Parit Hashim, Simpang Renggam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 6.40 pagi melibatkan motosikal jenis Honda Wave dan lori jenis Isuzu.

“Hasil siasatan mendapati kejadian tersebut berlaku semasa lori berkenaan yang dipandu seorang lelaki tempatan berusia 38 tahun dalam perjalanan dari Jalan Kolam Air hendak masuk ke Jalan Parit Haji Hashim.

“Semasa tiba di persimpangan jalan, lori berkenaan keluar simpang dan bergesel dengan motosikal ditunggang wanita tempatan berusia 72 tahun yang berjalan terus menghala ke pasar Simpang Renggam,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, penunggang tersebut terjatuh atas jalan dan mengalami kecederaan parah di bahagian kepala lalu meninggal dunia di tempat kejadian.

Katanya, pemandu terbabit pula tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditangkap untuk siasatan bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Beliau memberitahu, ujian saringan air kencing mendapati pemandu terbabit negatif dadah.

Pihaknya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerusi talian hotline 07-7784222 atau 07-7766822; direct line Tablet DCC 07-7784256 atau 014-365682.- MAJESTIC

More From Author

Tiga ‘katak’ minta sedekat ditahan JKM di Johor Bahru

Remaja maut motosikal dibonceng bergesel sebelum dilanggar kereta