KLUANG – Ketua Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) Bahagian Kluang, Shikh Mohd. Farkhan mengumumkan keluar daripada parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Keputusan beliau bersama-sama ahli lain itu menyaksikan MUDA Bahagian Kluang dibubarkan dan Shikh Mohd mengambil keputusan menyertai Pemuda UMNO.
Menurut Shikh Mohd, keputusan tersebut dibuat selepas menilai secara menyeluruh kedudukan dan hala tuju MUDA yang disifatkan semakin tidak jelas serta sukar bergerak secara bersendirian dalam landskap politik semasa.
“Dalam keadaan sekarang, MUDA berdepan cabaran besar untuk berdiri sendiri.
“Persepsi pengundi, khususnya golongan muda, semakin negatif apabila MUDA dilihat tiada pendirian dan hala tuju yang konsisten,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjelaskan status MUDA Bahagian Kluang yang menjadi tanda tanya selepas hampir setahun tidak menunjukkan sebarang aktiviti politik.
Shikh Mohd turut memaklumkan bahawa keputusan itu dibuat selepas mengadakan pertemuan bersama-sama Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah.
Menurutnya, usaha untuk membina kekuatan parti secara berdikari memerlukan tempoh panjang serta sumber yang besar selain sokongan akar umbi yang kukuh.
“Perjalanan untuk membina semula kekuatan parti boleh mengambil masa sehingga 10 tahun atau lebih, melalui fasa kekurangan sumber dan pembinaan akar umbi yang mencabar,” katanya.
Sehubungan itu, beliau memilih untuk menyertai Pemuda UMNO yang disifatkan sebagai sebuah sayap parti yang inklusif, berani bersuara dan bersedia membimbing golongan muda daripada pelbagai latar belakang.
Dalam masa sama, beliau berpandangan MUDA masih berpeluang untuk bangkit sekiranya parti itu melakukan penjenamaan semula dengan misi dan visi yang lebih jelas.
“MUDA perlu kembali dengan fokus yang jelas seperti pembangunan ekonomi, reformasi pendidikan serta peranan semak dan imbang yang rasional bagi meraih semula kepercayaan pengundi,” katanya.- Majestic
