6 murid disahkan dijangkiti tibi

JOHOR BAHRU: Enam murid sekolah di daerah Kota Tinggi menghidap Tuberkulosis (tibi) namun tiada sebarang arahan penutupan sekolah dikeluarkan oleh pihak berkuasa kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan negeri, Aznan Tamin berkata, keadaan masih terkawal dan kini berada dalam pemantauan rapi Kementerian Kesihatan (KKM).

Hasil saringan kontak rapat yang dijalankan KKM mendapati enam murid menghidap tibi itu terdiri daripada empat lelaki dan dua perempuan.

“Kesemua murid terlibat telah diarahkan menjalani kuarantin serta menerima rawatan sewajarnya dan kini berada dalam pemantauan rapi KKM mengikut prosedur kesihatan yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) juga turun ke sekolah-sekolah terlibat bagi mengadakan sesi perjumpaan dan penerangan bersama-sama pihak pengurusan sekolah.

Katanya, sesi tersebut bertujuan memberi penjelasan mengenai penyakit tibi selain langkah-langkah pencegahan yang perlu diambil pihak sekolah, murid dan ibu bapa.

Dalam pada itu, Aznan menegaskan semua pihak sekolah perlu sentiasa mematuhi garis panduan dan arahan yang dikeluarkan KKM termasuk aspek kebersihan, pemantauan kesihatan murid serta tindakan susulan yang disarankan.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat tidak sahih atau berita palsu berkaitan isu berkenaan kerana boleh mencetuskan kebimbangan dan panik dalam kalangan masyarakat.

“Sebarang maklumat rasmi hendaklah dirujuk kepada kenyataan KKM atau saluran rasmi Kerajaan Negeri Johor,” katanya.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri Johor kekal komited memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga sekolah terus terpelihara dengan kerjasama berterusan KKM dan semua pihak berkaitan.- Majestic

More From Author

8 ajaran sesat masih bertapak di Johor

Ketua MUDA Kluang umum keluar parti, sertai UMNO