Hampir 40 anggota bomba bertarung kawal kebakaran gudang sejak semalam

KULAI: Seramai 39 anggota bomba dikerahkan untuk mengawal kebakaran besar di sebuah gudang penyimpanan getah dan plastik di Jalan Air Hitam, Senai di sini sejak petang semalam.

Namun hingga kini operasi memadamkan kebakaran masih dilakukan dan setakat tengah hari ini kira-kira 65 peratus sudah berjaya dipadamkan.

Kebakaran berkenaan tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa namun difahamkan asap mengakibatkan pencemaran udara di kawasan sekitar termasuk dua sekolah berdekatan.

Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Fauzi Awang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai insiden itu pada pukul 4.37 petang.

“Seramai 39 anggota BBP Kulai, BBP Bandar Baru Kulai dan BBP Skudai terlibat dalam operasi dengan kekuatan jentera melibatkan tiga Fire Rescue Tender (FRT), satu Compact Fire Rescue Tender (CFRT),

sebuah Hilux, sebuah Triton dan dua lori.

“Kebakaran melibatkan sebuah gudang penyimpanan getah dan plastik jenis separuh kekal berukuran kira-kira 300 x 500 x 80 kaki dengan anggaran kemusnahan sekitar 80 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dilaksanakan secara bersektor melibatkan bahagian hadapan, sisi dan belakang bangunan bagi mengawal serta mengepung kebakaran daripada merebak ke struktur berhampiran.

“Sebanyak tiga aliran sepanjang 800 kaki digunakan bersama tiga breeching dan enam pancutan air menerusi kaedah relay pumping dari sumber air terbuka iaitu sungai. Operasi turut dibantu jentera ALP bagi kerja-kerja pemadaman di bahagian atas struktur,” katanya.

Jelasnya, operasi pemadaman turut menerima bantuan pihak MMHE melibatkan 11 anggota bersama-sama 20 tong buih (foam) berkapasiti 20 liter setiap satu selain bantuan foam tambahan dari negeri yang berdekatan.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya pukul 8.39 malam, namun operasi pemadaman diteruskan sehingga awal pagi ini.

“Tambahan 30 tong foam dari negeri berhampiran dilaporkan dalam perjalanan ke lokasi bagi menyokong operasi,” katanya.- MAJESTIC

More From Author

Tukang gunting didakwa bunuh isteri hamil

3 jurulatih Palapes didakwa sebabkan kematian Syamsul Haris