KOTA TINGGI: Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai (Palapes), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan menyebabkan kematian pelatih Palapes UTM Skudai, Syamsul Haris Shamsudin, tahun lalu.
Walau bagaimanapun, Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhamad Bahauddin, 30, dan Pegawai Waran Mohd. Norbuangani Mislan, 41, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Hayda Faridzal Abu Hasan.
Berdasarkan kertas pertuduhan, ketiga-tiga jurulatih itu didakwa menyebabkan kematian Syamsul Haris, 22, dengan niat hendak menyebabkan bencana tubuh badan yang mungkin menyebabkan
kematiannya di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara antara pukul 2 hingga 3 petang pada 28 Julai tahun lalu.
Ketiga-tiganya didakwa di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri Johor,Abdul Ghafar Ab Latif dan Timbalan Pendakwa Raya, Nor Afiqah Mus, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pihak pendakwaan mencadangkan kepada mahkamah jaminan sebanyak RM50,000 bagi pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada pihak mahkamah.
Hakim Hayda Faridzal kemudian menetapkan RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, lapor diri di balai polis berhampiran.
Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada pada 13 April ini bagi serahan dokumen, lantikan peguam dan kehadiran peguam pemerhati pihak keluarga mangsa.- MAJESTIC
