Faktor Onn Hafiz boleh menangkan BN pada PRN Johor

JOHOR BAHRU: Ketokohan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi diyakini mampu membantu Barisan Nasional (BN) menang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijangka diadakan pada tahun ini.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, prestasi Onn Hafiz ketika ini amat baik dan diterima baik rakyat.

“Amat baik, saya tak dengar pun orang yang tak puas hati dengan Menteri Besar, dia aktif ke sana ke sini dan cuba menyelesaikan masalah yang ada seperti masalah di Causeway (Tambak Johor) dulu

kesesakan yang teruk.

“Dia buat sesuatu, jumlah hari yang sesak itu sudah berkurang. Memanglah kalau hari yang trafik terlalu tinggi, buat apa pun memang tak boleh selesai tapi apa yang bagus dibuat adalah dia menyelesaikan masalah apabila trafik tidak terlalu terjejas.

“Bantuan banjir Johor pun dia selesaikan dengan cepat. Sekarang ini pun para pelabur pun puas hati dengan tindakkan kerajaan negeri meluluskan projek.

“Dia cuba hapuskan ‘red tape’ dan birokrasi dalam meluluskan projek-projek penting yang diperlukan untuk menjana semula pertumbuhan ekonomi negeri Johor,” ujar Ketua UMNO Bahagian Pulai itu.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan Majlis Sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina 2026 Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Perling di Kompleks Tan Sri Mohamed di sini malam tadi.

Nur Jazlan mengulas mengenai populariti Onn Hafiz sama ada akan menjadi faktor yang membolehkan BN menang pada PRN Johor akan datang.

Katanya, daripada segi jumlah pelaburan yang diumumkan Johor mendapat jumlah tertinggi dalam negara manakala hasil negeri pula mencecah RM2.67 bilion iaitu tertinggi pernah diperoleh.

Nur Jazlan percaya, perkembangan positif itu mendorong rakyat percaya kepada Onn Hafiz selain keadaan pembangkang yang sedang berdepan masalah serta dilihat tidak efektif di negeri ini akan memberikan kelebihan kepada BN.

“Bila rakyat dah yakin dengan Menteri Besar, buat apa nak pilih orang lain,” soalnya serta percaya BN dan UMNO boleh mempertahankan 40 kerusi yang dimenangi pada PRN lalu malah boleh menang lebih daripada itu.

Di Johor, BN menang besar dengan majoriti dua pertiga pada PRN 2022 lalu selepas menguasai 40 daripada 56 kerusi DUN, manakala PH sekadar memenangi 12 kerusi termasuk satu milik Amanah di DUN Simpang Jeram.- Majestic

More From Author

12 termasuk wanita, remaja didakwa jadi ahli Geng Richi, Vincent

Guru didakwa cuba pegang payu dara wanita Vietnam