JOHOR BAHRU: Seramai 12 individu termasuk seorang wanita dan seorang remaja lelaki didakwa di dua Mahkamah Sesyen berasingan dan Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tuduhan menjadi ahli dua kumpulan jenayah terancang, sejak dua tahun lalu.
Semua tertuduh mengakui memahami pertuduhan dihadapi mereka, namun tiada pengakuan direkodkan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, Datuk Che Wan Zaidi Che Wan Ibrahim dan Majistret Nur Fatin Mohamad Farid.
Bagi enam individu pertama, Lim Kam Weng, 26; R Kesava Raj, 20; bersama empat tahanan penjara, I Richi, 22; L Navindran, 26; Mohamad Hazwan Sazali, 38; dan J Jivaneswaran, 25; didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Richi’.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Taman Permainan MBPG (Majlis Bandaraya Pasir Gudang), Jalan Suria 52, Taman Suria, Masai di sini, antara Februari 2024 hingga 21 September 2025.
Sementara enam lagi individu, M Vimalanraj, 27; M Nageswaran, 33; Tommy Voo Tze Hau, 28; I Abdul Rahufur Rahim, 31; Kuek Pei Lin, 20; bersama-sama remaja lelaki berusia 17 tahun itu didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang ‘Geng Vincent’.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Jalan Lagenda 34, Taman Lagenda Putra, Kulai, antara Mac 2025 hingga 15 Januari 2026.
Semua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dijalankan oleh Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim dan Lokman Kasim.
Sembilan tertuduh tidak diwakili peguam, manakala tertuduh wanita, Pei Lin dan remaja lelaki diwakili peguam Woon Wai King, manakala peguam Sharifah Annafiza Al-Shahab Syed Fadzli mewakili tertuduh, Tommy.
Ketiga-tiga mahkamah menetapkan 12 Mac depan untuk sebutan semula kes sementara menunggu laporan forensik telefon bimbit dan tidak membenarkan sebarang jaminan ke atas semua tertuduh.
Kelmarin, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, dua kumpulan jenayah terancang itu akan didakwa hari ini yang mana kedua-dua kumpulan berkenaan masing-masing terbabit dengan kegiatan pecah rumah dan kedai serta sindiket pemerasan seksual dalam talian.
Beliau dilaporkan berkata, kedua-dua sindiket jenayah terancang itu menyebabkan kerugian keseluruhan melebihi RM4 juta.- Majestic
