KOTA TINGGI: Mayat seorang kanak-kanak yang hilang dibawa arus semasa mandi di pantai Tanjung Buloh, Sedili Kecil, di sini semalam ditemukan malam tadi.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Tanjung Sedili, Komander Maritim Mohd. Najib Sam berkata, mayat Putra Aniq Fairuz Mohd. Faizul, 11, ditemukan terdampar di pesisir pantai pada pukul 10.26 malam.
“Mangsa berkenaan kemudiannya disahkan sudah meninggal dunia dan operasi mencari dan menyelamat ditamatkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru menerima laporan kecemasan pada pukul 1.30 petang memaklumkan tiga kanak-kanak dilaporkan lemas ketika mandi di pantai berkenaan.
Dua daripada mangsa merupakan adik beradik manakala Putra Aniq Fairuz merupakan sepupu mereka.
Mohamad Soleh Hazriq Mokhtar, 16, dan adiknya, Arman Hanif, 11, diselamatkan nelayan dan pengunjung yang kebetulan berada di kawasan berdekatan.
Kesejuq mangsa berkunjung ke pantai tersebut bersama-sama ahli keluarga yang lain. – Majestic
