2 keluarga tinggal sehelai sepinggang, akibat kebakaran rumah.

KLUANG: Dua buah keluarga yang tinggal berjiran tinggal sehelai sepinggang apabila kediaman mereka di Jalan Balau, Kampung Masjid lama di sini musnah dalam kebakaran petang tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kluang, Penolong Kanan Penguasa Bomba (PKPgB) Mohd Fauzi Mohd Nor berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada pukul 5.05 petang.

Seramai 12 anggota bersama dua jentera FRT diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) I Saifulfadly Karim dan dibantu Balai Bomba dan Penyelamat Renggam dikejarkan ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati dua buah rumah yang dibina secara berdekatan telah musnah terbakar kira-kira 60 peratus sebelum kerja-kerja memadamkan kebakaran dilakukan.

“Terdapat empat orang mangsa iaitu seorang pembantu rumah wanita berusia lingkungan 20 tahun, lelaki dewasa 57 tahun dan perempuan dewasa 80 tahun manakala seorang lagi tiada di tempat kejadian.

“Semua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan kerana sempat menyelamatkan diri sebaik menyedari kebakaran berlaku,”katanya ketika dihubungi.

Menurut Mohd Fauzi lagi, PKO melaksanakan pemadaman menggunakan dua aliran dengan dua pancutan melalui sumber air daripada pili bomba berdekatan kawasan kejadian sehingga api berjaya dipadamkan sepenuhnya.

Ujarnya, pemeriksaan mendapati kedua-dua kediaman itu musnah kira-kira 80 peratus.. – Majestic

More From Author

Maut ketika daki Gunung Lambak

Rumah teres jadi pejabat perbaharui permit pekerja asing