KLUANG: Seorang lelaki meninggal dunia semasa mendaki Gunung Lambak selepas dilaporkan pengsan dalam kejadian tengah hari tadi.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari selepas Loh Yeong Keong, 54, memulakan pendakian pada pukul 11 pagi bersama kakak iparnya yang berusia 53 tahun.
Mangsa yang berasal dari Taman Naseb disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Kesihatan sebelum dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) Kluang.
Sebelum itu, Balai Bomba dan Penyelamat Kluang menerima maklumat kejadian pada pukul 12.28 tengah hari daripada kakak ipar mangsa sebelum 11 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan Keluaran Operasi (PKO) yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Saifulfadly Karim telah berjaya menemui mangsa pada jarak perjalanan kira-kira 1.5 kilometer dari kaki gunung.
Ujarnya, PKO telah memberikan rawatan awal kepada mangsa yang mengalami kecederaan di kepala sebelum membawanya turun ke kaki gunung menggunakan pengusung.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya selepas disahkan meninggal oleh Pegawai Perubatan,”katanya melalui kenyataan hari ini. – Majestic
