KUALA LUMPUR: Tunku Mahkota Ismail mendakwa Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) menjatuhkan hukuman ke atas pemain tanpa menggunakan peruntukan undang-undang sebenar.
Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) yang juga Pemangku Sultan Johor itu menyifatkan hukuman berkenaan sebagai tidak berasas dan kelihatan lebih bermotif politik.
Menerusi kenyataan di laman Facebook HRH Crown Prince of Johor, Tunku Mahkota Ismail menegaskan baginda menyokong penuh perjuangan tujuh pemain warisan Harimau Malaya yang kini akan diteruskan ke Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
“FIFA terus menghukum pemain dengan tidak menggunakan peruntukan sebenar undang-undang, sedangkan Artikel 22 dalam kod FIFA menyatakan hanya mereka yang memalsukan atau menggunakan dokumen palsu boleh dikenakan tindakan dan perkara itu langsung tidak terpakai kepada pemain.
“Dengan kata lain, hukuman yang dikenakan ini tidak berasaskan undang-undang dan kelihatan lebih bersifat ‘bermotif politik’ berbanding sebab yang sebenar.
“Ada yang memilih untuk menuding jari, ada yang memilih untuk membuat bising, tetapi saya memilih untuk berdiri dan menyokong perjuangan habis-habisan demi pemain, yang kini akan diteruskan ke CAS, sebuah badan bebas,” menurut kenyataan itu.
Semalam, Jawatankuasa Rayuan FIFA mengesahkan menolak rayuan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) berhubung hukuman yang diputuskan oleh Jawatankuasa Tatatertib badan induk bola sepak dunia itu pada September lalu.
Keputusan itu menyaksikan hukuman denda sebanyak 350,000 Swiss franc (RM1.8 juta) yang dikenakan ke atas FAM sebelum ini kekal.
Sementara itu, tujuh pemain terbabit – Gabriel Arrocha, Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel – digantung 12 bulan serta masing-masing didenda 2,000 Swiss franc (RM10,411).
FAM mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan bertulis dan selepas itu 21 hari bagi mengemukakan rayuan rasmi kepada CAS. – BH
