Krisis dialami Rohingya antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat zaman ini – Muhammad Yunus

NEW DELHI: Pemimpin kerajaan sementara Bangladesh, Muhammad Yunus, menegaskan krisis yang menimpa komuniti Rohingya merupakan antara tragedi kemanusiaan paling dahsyat pada zaman ini.

Beliau membincangkan isu krisis kemanusiaan Rohingya pada pertemuannya dengan delegasi Ahli Parlimen Turkiye yang melawat Dhaka, semalam.

“Mereka menderita (akibat perbuatan manusia) hanya kerana beragama Islam, malah kewarganegaraan mereka dilucutkan,” kata Yunus kepada delegasi Turkiye, menurut laporan agensi berita Bangladesh Sangbad Sangstha.

Bangladesh kini menampung lebih 1.3 juta pelarian Rohingya yang melarikan diri daripada kempen pembunuhan beramai-ramai dan penindasan di Myanmar.

Mereka hidup dalam keadaan serba kekurangan di kem pelarian di Cox’s Bazar, manakala Myanmar terus dilanda konflik etnik dan juga pertumpahan darah walaupun pelbagai usaha antarabangsa dilakukan bagi mencari penyelesaian.

Kekejaman terhadap komuniti Rohingya telah mencetuskan gelombang pelarian besar-besaran dari wilayah Rakhine, Myanmar, pada 2017.

“Selepas lapan tahun berada di kem, anak-anak mereka membesar dengan akses amat terhad kepada pendidikan dan peluang masa depan – keadaan ini boleh menimbulkan perasaan kecewa serta ketidakstabilan,” kata Yunus.

Beliau menegaskan masyarakat Rohingya sudahpun berdepan ketidakadilan selama beberapa dekad, dan dunia tidak boleh melupakan penderitaan mereka.

Pada Ahad lalu, delegasi Parlimen Turkiye yang diketuai Mehmet Akif Yilmaz, melawat kem pelarian Rohingya di Cox’s Bazar dan meninjau sendiri kerja-kerja kemanusiaan yang dijalankan oleh pelbagai pertubuhan Turkiye di situ.

Antara agensi terbabit dalam usaha membantu pelarian Rohingya ialah Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Agensi Kerjasama dan Penyelaras Turkiye (TİKA), Bulan Sabit Merah Turkiye (Türk Kızılay) serta Yayasan Bantuan Kemanusiaan (IHH).

Dalam satu hantaran melalui media sosial, semalam, Yilmaz memaklumkan bahawa kira-kira 1.2 juta pelarian terbabit kini tinggal di kawasan sempit yang kekurangan keperluan asas manusia.

Selain itu, beliau berkata, agensi kemanusiaan Turkiye sedang mempergiatkan usaha menambah kemudahan kesihatan, sekolah dan penempatan untuk komuniti Rohingya.

More From Author

Tunku Mahkota Ismail dakwa FIFA bermotif politik hukum pemain

Trump gantung pembiayaan AS kepada PBB hingga pembaharuan dilaksanakan